THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Pages

Tuesday, October 12, 2010

Pemuda Tiang Bangsa, Pemudi Harapan Bangsa

“REMAJA HARI INI, PEMIMPIN HARI ESOK”


Menurut kamus dewan edisi ketiga, remaja didefinisikan sebagai seseorang yang mulai dewasa, sudah akhil baligh, dan sudah cukup umur untuk berkahwin. Manakala menurut tafsiran orang ramai pula, remaja merupakan golongan yang berumur antara 13 hingga 21 tahun. Seperti yang kita sedia maklum, zaman remaja merupakan waktu yang paling mencabar kerana pada ketika ini, remaja sibuk mencari identiti diri masing-masing. Justeru itulah kita dapat lihat ramai remaja kini khususnya menyerupai perwatakan orang lain, baik daripada pemakaian mahupun perbuatan. Bukti ini jelas sekali menunjukkan remaja tidak mengenali diri mereka sendiri dan sentiasa mempunyai perasaan ingin tahu serta mudah memberontak. Fakta ini disokong lagi dengan hadis Rasulullah SAW iaitu, “ Seseorang itu akan mencontohi orang yang dicintainya.”


Dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke 30, Allah ada berfirman yang bermaksud, “Aku akan menjadikan seorang khalifah di muka bumi ini…”. Maka dijadikanNya Adam sebagai seorang khalifah ataupun pemimpin di bumi untuk menyampaikan syariat kepada umat manusia. Amanah baginda telah dipelopori oleh nabi-nabi yang seterusnya dan pemimpin lain sehingga ke hari ini. Namun, apakah kaitan antara remaja dengan pemimpin? Pada realitinya, setiap pemimpin pasti ada pelapisnya kerana masa tidak menunggu kita. Semakin hari, umur kita semakin meningkat. Maka, pelapislah yang akan menyambung dan meneruskan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan. Pelapis yang dimaksudkan ialah golongan generasi muda kita iaitu para remaja. Persoalannya di sini, kenapa remaja yang bertanggungjawab menjadi pelapis untuk memimpin masa hadapan? Pertanyaan ini sudah tentu terjawab kerana sahabat nabi SAW, Umar R.A. pernah mengungkapkan, “Barangsiapa ingin menggenggam nasib sesuatu bangsa, maka genggamlah para pemudanya.” Dengan kata lain, sesiapa yang memiliki pemuda ataupun remaja maka mereka akan menguasai masa depan hingga kata-kata “Pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa” bukan hanya mitos dan retorik, melainkan akan menjadi satu lakaran sejarah. Sesungguhnya di tangan remaja terletak nasib umat dan di dalam keperwiraan mereka terletak survival bangsa.


“Remaja hari ini, pemimpin hari esok”, merupakan istilah yang sudah sinonim dan menjadi klise dalam masyarakat Malaysia. Tidak dinafikan sepanjang babak sejarah kebangkitan sesuatu tamadun atau bangsa dimulakan dengan hamasah as-syabab iaitu semangat kepemudaan. Dalam sejarah bangsa, remaja ataupun pemuda sentiasa mengambil peranan sebagai agen perubah. Sebagai bukti, pada era penjajahan, generasi muda dari multidaerah di Nusantara telah menyemai bibit persatuan dan kesatuan dalam bingkai ”Sumpah Pemuda” pada 1928 di Indonesia. Namun, pada era kemerdekaan, para pemuda tampil sebagai generasi pembebas dan menolak penjajahan orang luar. Sebagai bukti, tokoh-tokoh agung seperti Syeikh tahir Jalaludin, Syed Syeikh al-Hadi dan Dr. Burhanuddin al-Helmy merupakan pemuda yang telah mempelopori gerakan pembebasan dan pencerahan minda umat Islam di rantau Melayu sehingga lahirnya tulisan-tulisan mereka di akhbar dan majalah yang terkenal seperti al-Imam, Neracha dan Pengasuh sebagai agenda reformasi dan transformasi minda. Mereka telah menyarankan idea-idea pembaharuan, menyematkan sikap anti-kolonial, menyemai bibit patriotisme, mengkritik kepimpinan raja dan pemerintah yang gagal memajukan dan mengangkat harakat bangsa sendiri. Oleh itu, jelas sekali bukti ini menunjukkan remaja mempunyai kuasa untuk mengubah dan memperbaiki sesuatu kerana semua terletak di tangan mereka.


Selain itu, remaja juga terkenal dengan ungkapan agen perubah kerana generasi pemuda merupakan agen perubah sesuatu bangsa. hal ini dapat dikaitkan dengan peristiwa yang berlaku pada tahun 1966 di Indonesia apabila generasi mudalah yang telah mempelopori peralihan kekuasaan dari Order Lama ke Order Baru selain membentuk arus reformasi meluruskan perjalanan bangsa lewat “Gerakan Reformasi 1998”. Walau bagaimanapun, dewasa ini ramai generasi muda kehilangan jati diri, tidak punya identiti dan hanyut dalam arus globalisasi tanpa ada kemampuan untuk membezakan antara yang baik dan sebaliknya. Pada realitinya, anak-anak muda kini diseret jauh ke lembah hedonistik dan jauh dari produktiviti dan kapasiti sebagai pembangun negara. Manakala pendidikan sebagai wahana melahirkan pemimpin masa depan sudah kehilangan arah tuju.Buktinya, sekolah-sekolah hanya sekadar menjadi pusat pengajaran dan pembelajaran dan bukan sebagai pusat pentarbiahan apabila para pendidik tidak berperanan sebagai murabbi dan akhirnya anak murid khususnya remaja sesat dalam menetapkan matlamat kehidupan. Hal ini demikian kerana pemikiran mereka disumbat dengan minda picisan manakala hiburan menjadi barhala kehidupan dan akhirnya keseronokan mendorong kesesatan.

Perkara ini dirumitkan lagi dengan krisis ekonomi masa kini yang mendorong peningkatan statistik kadar pengangguran generasi muda termasuk graduan lepasan pengajian tinggi. Disebabkan perkara inilah, masalah sosial di kalangan pemuda pun meningkat dan semakin melunar sehingga parah serta sukar untuk dibendung. Masalah sosial tersebut termasuklah jenayah, penyalahgunaan dadah, penyebaran penyakit HIV atau AIDS, kanser prostat dan keruntuhan akhlak dan moral. Kesan globalisasi yang mengunsung kepelbagaian teknologi dan informasi dengan akses mudah, cepat dan murah menjadi indikator utama meningkatnya kenakalan pemuda dan keruntuhan moral di kalangan remaja khususnya. Sewajarnya agenda membina pemuda dijadikan sebagai pilar pembangunan bangsa dalam mengatasi kebejatan sosial dan moral, seterusnya menjadikan mereka bersikap mandiri dan berdaya saing serta mempersiapkan diri mereka sebagai calon pemimpin bangsa di peringkat lokal atau nasional haruslah diberi keutamaan dan tumpuan.

Sungguhpun begitu, setiap masalah pasti ada jalan penyelasaiannya. Untuk melahirkan generasi yang mengamalkan konsep pemuda tiang negara dan pemudi harapan bangsa, negara ini haruslah mewujudkan polisi-polisi nasional yang mampu memberdayakan tenaga muda dan meningkatkan modal insan mereka. Antara penumpuan pemberdayaan generasi pemuda yang boleh dilaksanakan termasuklah mengatasi masalah sosial dan moral generasi muda dengan melakukan kepelbagaian aktiviti sosial dan mengembangkan inovasi dalam kegiatan dakwah. perlu juga ditekankan kepada mereka bahawa mereka ialah seorang pemimpin baik lelaki mahupun perempuan kerana hadis nabi ada mengatakan “Setiap daripada kamu ialah pemimpin iaitu pemimpin kepada diri sendiri.” Seterusnya, menggunakan tenaga para pemuda dalam pembangunan masyarakat dengan membentuk ketrampilan berdikari dalam keusahawanan, keupayaan memimpin komuniti setempat dan organisasi, membina kreativiti dan prestasi para pemuda. Selain itu, kerajaan juga sewajarnya mempersiapkan kader-kader pemuda untuk memimpin bangsa Malaysia dengan melakukan pelbagai latihan kepemimpinan (softskill dan hardskill) dan mendorong mereka dalam interaksi yang konstruktif di dalam badan-badan belia di Malaysia. Program yang bertepatan dengan misi ini adalah seperti Program Latihan Khidmat Negara atau PLKN yang mana program ini menerapkan semangat patriotisme dalam diri remaja sekali gus memudahkan para pemuda mencari identiti mereka sendiri. Oleh itu, kerajaan mestilah mewujudkan dan meneruskan program-program seperti ini demi kebaikan semua pihak.

Maka, sudah tiba masanya negara memberikan perhatian khusus kepada kelompok pemuda untuk menghadapi cabaran pada masa sekarang dan yang akan datang. Dengan ini diharapkan agar tidak akan berlaku penjajahan kerana bangsa yang melalaikan potensi pemudanya akan segera menempa kehancuran. Cukuplah sejarah peradaban dunia dahulu menjadi saksi betapa bangsa-bangsa besar runtuh dan rebah dek rendahnya kualiti dan runtuhnya akhlak generasi remaja mereka. Seharusnya remaja didedahkan dengan cara kepimpinan tokoh-tokoh terdahulu seperti Nabi Muhammad SAW yang memimpin seluruh umat dari pelusuk dunia dan Augustus Caesar, pemerintah Rom yang membawa keamanan Rom iaitu Pax Romana kepada empayar yang terdiri daripada tiga benua iaitu Asia, Afrika dan Eropah. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyaAllah pemuda kini pasti akan menjadi pelapis kepada pemimpin sekarang. Hal ini kerana sudah menjadi aksioma sejarah, remaja hari ini adalah pemimpin hari esok.

0 comments: